Get Mystery Box with random crypto!

#misikorbanlubnan | KEINDAHAN AKKAR YANG DIANAK-TIRIKAN LUBNAN | Aman Palestin Berhad 🇵🇸

#misikorbanlubnan | KEINDAHAN AKKAR YANG DIANAK-TIRIKAN LUBNAN

30 Jun 2023 , kami berkesempatan ke Akkar iaitu satu wilayah terpencil yang terletak di sebelah Utara Lubnan. Dalam perjalanan yang memakan masa sekitar 3 jam tersebut kami melalui keadaan jalan raya yang tidak sekata, bersimpang-siur dan berbukit-bukit. Walaupun keadaan jalan yang agak teruk tetapi di kiri kanan kami disajikan dengan permandangan yang sangat indah dan terdapat bangunan-bangunan bersejarah tinggalan Kerajaan Uthmaniyah. SubhanaAllah sungguh indah panorama alam ciptaan Allah S.W.T sehinggakan tidak terasa perjalanan yang makan masa berjam-jam sehinggalah sampai ke destinasi.

Sebaik saja tiba di Akkar, kami singgah dahulu di lokasi penyelembelihan korban. Sudah tiga hari berturut-turut saya menyaksikan proses penyelembelihan di depan mata sendiri. Suatu pengalaman yang jarang-jarang saya dapat rasai ketika berada di Malaysia kerana kebiasaannya saya hanya menunggu di rumah dan menerima daging korban yang diagihkan. Walaupun bau darah lembu yang agak meloyakan tekak tetapi disitulah kita belajar erti pengorbanan.

Kawasan agihan kali ini terletak di kem-kem pelarian Syria yang terletak di Mhamra. Saya difahamkan Mhamra merupakan tempat paling termiskin di Lubnan. Mengikut sejarah yang diberitahu oleh Saudara Omar yang membawa kami kesini, Mhamra diberi nama sempena nama Datuk Bandar dan isteri Datuk Bandar tersebut merupakan cucu kepada Izzudin Al-Qassam iaitu Pejuang Palestin. Alhamdulilah sebanyak 360 bungkus daging korban berjaya diedarkan di kem-kem terpilih dan jumlah penerima adalah sebanyak 1800 orang.

Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang telah berkongsi rezeki dalam kempen Ibadah Korban Di Bumi Anbia bersama Aman Palestin. Untuk makluman, penyertaan untuk Sedekah Korban bersama Aman Palestin masih dibuka lagi khusus untuk pengagihan daging korban di Lubnan.

Zuraidah Kassim
Peserta Misi Ibadah Korban Aman Palestin ke Lubnan (Pelarian Syria)

#AmanPalestin